SELAMAT DATANG KE WADAH PERKONGSIAN PEMBENTUKAN KELUARGA MUSLIM

Isnin, 6 April 2020

Zuriat Dalam Keluarga

Zuriat Dalam Keluarga





           Zuriat atau anak merupakan salah satu tujuan perkahwinan antara seorang lelaki dan wanita. Hal ini demikian kerana anak merupakan pelengkap bagi sesebuah keluarga. Malahan anak juga merupakan penyambung salasilah  keturunan bagi sesebuah keluarga.

         Sudah semestinya setiap orang tua menginginkan agar zuriat yang dilahirkan itu mempunyai erti dalam kehidupannya; mempunyai kesenangan dari segi harta dan moral, dan mampu menyumbangkan bakti kepada agama, bangsa dan negara.

              Bagi ibu bapa yang memahami ajaran Islam, mereka akan memahami makna akan kehadiran anak dalam keluarga mereka. Berikut merupakan erti anak bagi kedua orang tua (ibu bapa):




1. Rahmat Allah SWT

         Anak yang diberikan Allah kepada seseorang itu merupakan rahmat yang paling besar nilainya. Hal ini demikian kerana anaklah yang akan membawa kebahagiaan kepada pasangan suami isteri dunia dan akhirat.

       Kehadiran anak dalam keluarga adalah rahmat yang perlu kita syukuri. Kita dapat membayangkan betapa sedihnya dalam sebuah keluarga jika tidak dikurniakan anak kepada mereka. Pasangan suami isteri tersebut akan berasa kesunyian dan sentiasa berharap akan kehadiran zuriat dalam kehidupan mereka.

           Sebagai contoh, Allah telah menceritakan kisah Nabi Ayub A.S. yang menderita dan kesunyian kerana menanggung sakit, di samping seluruh anak-anaknya meninggal dunia disebabkan perbuatan khianat Iblis. Berdasarkan contoh ini, kita dapat lihat bahawa anak-anak merupakan tonggak kekuatan kepada ibu atau bapa. Tanpa kehadiran anak-anak, suami atau isteri seolah-olah hilang kekuatan dalam diri mereka.



2. Amanah Allah SWT

           Manusia haruslah bersyukur dengan kurniaan Allah kepada mereka. Sesungguhnya, pasangan suami isteri yang dikurniakan zuriat merupakan insan yang terpilih. Cuba kita renungkan, dalam sebanyak- banyak manusia di atas muka bumi ini, mengapa Allah memilih kita untuk dikurniakan zuriat? Maka, ini bermakna Allah mengetahui akan kemampuan kita untuk menjaga amanah Allah ini dan kita harus membuktikan bahawa kita layak memegang amanah ini.



3. Penguji Keimanan

            Apabila seseorang telah menyatakan beriman, maka ia akan diuji oleh Allah SWT. Ujian Allah ini boleh datang dalam pelbagai bentuk dan anak merupakan salah satu bentuk ujian untuk menentukan sama ada kita ini layak atau tidak untuk menerima syurga Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al-Anfal yang bermaksud:

             "Dan ketahuilah bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cubaan dan sesungguhnya di sisi Allah lah pahala yang besar".

             Jika kita telah memahami bahawa anak itu merupakan salah satu penguji keimanan manusia, sudah pasti kita akan mempersiapkan diri mereka untuk menuju ke jalan yang diredai Allah. Sebenarnya, ujian Allah ini adalah amat berat tetapi masih terdapat individu yang tidak mengambil peduli tentang perkembangan anak sahsiah mereka sama ada dari segi akhlak dan sebagainya.



4.Bekal di Akhirat

         Hidup manusia ini tidak berakhir sekadar di dunia sahaja. Sesungguhnya kita akan menempuh sebuah alam yang kekal abadi iaitu alam akhirat. Di alam akhirat, manusia yang tergolong dalam kelompok yang taat kepada Allah akan dikurniakan syurga buat mereka dan sebaliknya. 

           Untuk memperoleh syurga ini, manusia haruslah berusaha melakukan amal kebaikan sebanyak mungkin ketika masih hidup di dunia. Anak-anak merupakan salah satu wadah yang dapat menyebabkan ibu bapa masuk ke dalam syurga.

Sabda Rasulullah SAW:

            "Apabila telah meninggal dunia anak Adam maka putuslah amalannya, kecuali dari tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak-anak yang soleh yang mendoakan orang tuanya."

                                                                                          (Hadis Riwayat Muslim)

              Berdasarkan hadis ini, jelaslah bahawa anak-anak terutamanya yang soeh akan menjadi asbab kebaikan kepada ibu bapa di akhirat nanti.



5.Sumber Kebahagiaan

           Setiap manusia di dunia ini sudah pastinya menginginkan kebahagiaan. Sebenarnya, anak juga menjadi salah satu sumber yang mampu memberi kebahagiaan kepada manusia. Ini sesuai dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

            "Anak itu adalah buah hati dan sesungguhnya dia harum-haruman dalam syurga"
     
                                                                                          (Hadis Riwayat Tarmizi)

             Orang-orang yang beriman sentiasa mengharapkan kepada Allah agar dikurniakan anak-anak yang baik, serta seluruh ahli keluarga yang mendapat keredaan-Nya. Ini kerana keluarga yang bahagia itu akan menjadikan kehidupan mereka tenteram lebih-lebih lagi ketika bergaul dan beramah mesra sesama mereka.



6. Tempat Bergantung di Hari Tua

               Setiap manusia sudah pasti akan menempuh fasa kehidupan yang berusia. Ketika itu, kudrat dan kemampuan kita sudah pastinya akan semakin berkurangan. Ketika mencapai usia ini, seseorang itu amat memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada anak-anaknya. Di saat inilah  seorang anak itu harus menunjukkan usaha dan bakti mereka bagi menjaga kedua ibu bapanya sebaik mungkin.

          Sesungguhnya, Islam amat mencela terhadap anak yang derhaka terhadap kedua orang tuanya serta tidak memberi kasih sayang terhadap mereka. Derhaka terhadap orang tua merupakan dosa besar dan akan dilaknat oleh Allah SWT.

    


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pendidikan Anak-anak Menurut Islam

Pendidikan Anak-anak Menurut Islam        Anak-anak merupakan insan yang mulia. Mereka merupakan insan yang lahir tanpa dosa, s...