Pendidikan Anak-anak Menurut Islam
Anak-anak merupakan insan yang mulia. Mereka merupakan insan yang lahir tanpa dosa, suci daripada noda-noda kerosakan dunia. Ibu bapa pula merupakan pembentuk anak-anak sama ada menjadi insan yang berguna pada masa akan datang atau sebaliknya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan bersih melainkan dua orang tuanya yang bertanggungjawab mencorakkannya menjadikan Yahudi atau Nasrani atau Majusi.”
(Hadis riwayat Imam Baihaqi dan Muslim)
Dalam Islam, pendidikan adalah amat penting bagi mewujudkan generasi yang sempurna akhlaknya. Individu yang mula-mula terlibat dalam mendidik generasi muda tidak lain tidak bukan ialah ibu bapa itu sendiri.
Sebenarnya dalam Islam, pendidikan boleh dibahagikan kepada beberapa fasa. Antaranya ialah seperti berikut:
1. Pendidikan Sebelum Pernikahan Berlaku
Walaupun perkara ini mungkin dianggap remeh atau tidak penting bagi sesetengah daripada kita, sebenarnya perkara yang berlaku sebelum pernikahan mampu memberi kesan secara tidak langsung terhadap anak-anak yang bakal dilahirkan. Sebenarnya, pemilihan pasangan akan memainkan peranan yang sangat penting kepada masa depan anak-anak. Pasangan yang baik akhlaknya, warak dan beriman akan menyumbang kepada anak-anak yang soleh dan solehah pada masa akan datang.
2. Pendidikan Ketika Masih dalam Kandungan
Peranan ibu bapa sewaktu anak masih dalam kandungan adalah amat penting. Hal ini demikian kerana ia akan membawa kesan pada anak yang dikandungnya. Antara peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak walaupun masih di dalam kandungan ialah ibu bapa perlulah sentiasa menjaga makan dan minum terutamanya mengelakkan makanan yang syubhah. Hal ini demikian kerana makanan yang diambil akan menjadi darah daging anak-anak kita. Sekiranya daging yang tumbuh dalam badan anak kita adalah bersumberkan makanan yang haram, bagaimanakah kita boleh mengharapkan mereka untuk untuk mempunyai peribadi yang mulia pada suatu hari nanti? Oleh itu, pemakanan merupakan perkara yang paling penting bagi ibu bapa dalam mendidik anak-anak.
Seterusnya, ibu yang mengandungkan anak juga haruslah memperbanyakkan zikir dan membaca Al-Quran ketika dalam tempoh mengandung. Hal ini demikian kerana Al-Quran mampu menjadi penawar dan mampu mendidik anak-anak walaupun mereka masih lagi dalam bentuk janin. Mengikut kajian sains juga, anak di dalam kandungan mampu mendengar bunyi yang berada di luar. Oleh hal yang demikian, alangkah baiknya jika alunan ayat suci Al-Quran diperdengarkan oleh ibu dan bapa kepada anak mereka. Para ibu amat disarankan untuk membaca surah-surah tertentu yang mampu memberi kesan positif kepada anak-anak di dalam kandungan. Misalnya adalah seperti berikut:
a) Surah Al-Fatihah -Menerangkan hati dan daya ingatan
b) Surah Maryam - Memudahkan ibu bersalin dan memperoleh anak yang taat
c) Surah Yusuf - Agar anak cantik rupa dan elok akhlaknya
d) Surah Luqman - Memperolehi anak yang cerdik dan terang hati
e) Surah An-Nahl - Agar anak yang dilahirkan berdisiplin dan rajin
(ayat 27-28)
a) Surah Al-Fatihah -Menerangkan hati dan daya ingatan
b) Surah Maryam - Memudahkan ibu bersalin dan memperoleh anak yang taat
c) Surah Yusuf - Agar anak cantik rupa dan elok akhlaknya
d) Surah Luqman - Memperolehi anak yang cerdik dan terang hati
e) Surah An-Nahl - Agar anak yang dilahirkan berdisiplin dan rajin
(ayat 27-28)
Apabila anak telah selamat dilahirkan, maka akan bermulalah fasa baru dalam pendidikan anak-anak. Rasulullah SAW telah menerangkan kaedah dalam mendidik anak-anak bagi ibu bapa iaitu dari usia bayi sehinggalah mereka membesar. Berikut merupakan fasa umur anak-anak dan kaedah pendidikan yang sesuai digunakan berdasarkan saranan Rasulullah SAW.
a) Umur Anak 0-6 Tahun
a) Umur Anak 0-6 Tahun
Pada usia ini, Rasulullah SAW menyuruh kita untuk memanjakan, mengasihi dan menyayangi anak dengan kasih sayang yang tidak terbatas. Pada usia ini juga, mereka tidak boleh dipukul sekiranya mereka melakukan kesalahan walaupun atas dasar mendidik. Hal ini bertujuan untuk membina hubungan mesra dengan anak-anak dan mendapatkan kepercayaan mereka terhadap diri kita.
b) Umur Anak 7-14 Tahun
Pada usia ini, anak-anak perlu dididik dengan nilai disiplin dan tanggungjawab. Tanggungjawab yang dimaksudkan ini adalah antaranya tanggungjawab untuk menunaikan ibadah misalnya seperti menunaikan solat. Pada usia ini juga, tempat tidur antara anak lelaki dan anak perempuan haruslah diasingkan. Ini bertujuan untuk menjaga pergaulan antara adik beradik berlainan jantina dan mengelakkan berlakunya maksiat.
Bermula umur 7 tahun, anak-anak haruslah diajarkan dan diperintahkan untuk menunaikan solat. Sekiranya pada usia 10 tahun anak-anak masih meninggalkan solat, ibu bapa haruslah menghukum dengan memukul anak-anak sekadar tujuan mendidik sahaja dan bukannya dengan tujuan menyiksa.
c) Umur Anak 15-21 Tahun
Umumnya, fasa ini merupakan fasa yang paling mencabar bagi ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana remaja pada usia ini sering memberontak dan masih dalam keadaan mencari identiti diri. Pada tahap ini, ibu bapa perlu lebih aktif dalam mengetahui keadaan anak-anak mereka misalnya sentiasa berbual dengan mereka tentang keadaan pelajaran mereka, bertanyakan tentang masalah peribadi mereka dan sebagainya.
Pada fasa ini juga, ibu bapa perlu menjadi kawan kepada anak-anak. Ibu bapa perlu menjadi pendengar setia kepada anak-anak. Sekiranya ibu bapa bersikap acuh tak acuh dalam mengambil tahu keadaan anak-anak, dibimbangi mereka pergi mencari kawan untuk mencurahkan isi hati mereka. Lebih membimbangkan jika sekiranya mereka tersalah memilih kawan yang bermasalah. Ini boleh menimbulkan masalah yang lebih besar pada masa akan datang.
d) Umur Anak 21 Tahun dan Ke Atas
Pada usia ini, anak-anak adalah lebih matang dalam kehidupan mereka. Maka, ibu bapa boleh mengambil pendekatan untuk memberi sepenuh kepercayaan dan kebebasan kepada anak-anak. Pada peringkat ini, ibu bapa hanya lebih berperanan sebagai penasihat kepada anak-anak.
Demikianlah langkah-langkah yang disarankan oleh Islam dalam mendidik anak-anak. Mudah-mudahan dengan mengamalkan langkah-langkah di atas, lebih banyak generasi yang soleh dan solehah dapat diwujudkan pada masa akan datang.




Tiada ulasan:
Catat Ulasan